Pages - Menu

Tuesday, October 4, 2011

363 bekas GSTT Sabah bakal dilantik semula


 

KOTA KINABALU: Semua 363 bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah, yang kini menganggur, akan dilantik semula atau diberi peluang mengikuti kursus di institusi perguruan bagi membolehkan mereka diserap sebagai guru tetap secara berperingkat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengambilan secara berperingkat perlu dilakukan kerana jawatan guru tetap tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

"Kita sedang berbincang dengan JPA berhubung perkara ini. Kita serius untuk membantu GSTT ini, dan sebab itu kita tidak adakan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tahun ini.
"Harus diingat, kita juga perlu mengambil kira penempatan graduan (sama ada dari Institut Pendidikan Guru atau universiti) yang sudah atau akan menamatkan pengajian mereka November ini," katanya selepas melawat SMK Pulau Gaya dekat sini, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun minggu lalu berhubung perkara itu.

Masidi dipetik sebagai berkata, bahawa beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan reaksi positif yang diterima sebelum ini daripada pihak berwajib termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Dr Maximus Ongkili turut membangkitkan perkara yang sama.
Ongkili dipetik sebagai berkata, daripada 557 GSTT di Sabah tahun lalu, hanya 164 dilantik semula tahun ini dan 30 individu saja berjaya mendapat pekerjaan di tempat lain manakala yang lain masih menganggur.

Mereka adalah antara 3,735 GSTT di seluruh negara yang tidak dilantik semula.

Mengulas cadangan beberapa pemimpin negeri supaya Jabatan Pelajaran Sabah diberi kuasa menentukan atau meneliti proses pengambilan guru untuk mengikuti latihan perguruan bagi negeri ini, Mohd Puad berkata: "Kita ada standard tertentu yang perlu kita patuhi". - BERNAMA

Sumber : Berita Harian